Monday, April 5, 2010

Syed Ali Alhabshee

http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2010/04/mafrel-dinasihatkan-jangan-sibuk.html

Monday, April 5, 2010
‘ Mafrel dinasihatkan jangan sibuk bermusim’ – Syed Ali

BADAN Pemantau Pilihan Raya (Mafrel) dinasihatkan supaya tidak jadi ‘penyibuk yang bermusim’ untuk mengkritik kerajaan meneruskan usaha membela nasib rakyat, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, setiap kali berlakunya Pilihan Raya Umum atau kecil, Mafrel akan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya tidak telus dan menyalahgunakan kuasa.

Katanya, apabila berlaku pilihan raya, Mafrel sibuk buat macam-macam kenyataan menggambarkan kerajaan tidak telus tetapi selepas itu mereka senyap.

“Ini menunjukkan Mafrel sebenarnya badan bebas yang jadi kuda tunggangan pembangkang yang sibuknya bermusim, sekadar untuk memanaskan keadaan,” tegasnya.

Menurut Syed Ali, Mafrel sepatutnya sudah lama membentangkan laporan mengenai pemerhatian mereka terhadap proses pilihan raya kepada pihak SPR.

“Tetapi saya difahamkam SPR sehingga ke hari ini tidak pernah pun menerima laporan dari Mafrel mengenai perjalanan pilihan raya di negara ini, jadi apa sebenarnya yang mereka pantau?,” soalnya.

Syed Ali juga mahu keanggotaan Mafrel didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat menilai sejauhmana badan itu bebas atau mengikut telunjuk pembangkang.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh yang membidas Kerajaan Pusat meluluskan pelbagai projek perumahan dan sekolah kepada penduduk Hulu Selangor.

Syed Ibrahim dalam sebuah laporan akhbar hari ini meminta SPR memberikan amaran dan mengeluarkan arahan supaya tidak ada apa-apa kempen sehingga hari penamaan calon.

Menurut Syed Ali lagi, kerajaan khususnya UMNO tetap meneruskan usaha pembelaan nasib rakyat terutama di kawasan luar bandar tidak kira sama ada berlaku pilihan raya kecil atau sebaliknya.

“Apabila berlaku pilihan raya kecil, tidak menjadi kesalahan kerajaan laksanakan pelbagai projek kerana pelan pembangunan untuk rakyat sememangnya telah lama dirancangkan,” jelasnya.

Katanya, melaksanakan sesuatu projek itu berdasarkan kepada keutamaan dan apabila berlaku sesuatu pilihan raya kecil, maka pelaksanaannya boleh disegerakan untuk faedah rakyat.

Oleh itu katanya, jika Mafrel mendapati kerajaan tidak telus dalam menghadapin pilihan raya kecil, badan tersebut boleh memgemukakan laporan lengkap kepada SPR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.